Pancingan Kehidupan

Monday, February 21, 2005

Mancing, Ekonomi dan Title

Baik-baik dik... Gigi pacu tu tajam!!


Bang... ikan apa nih? Cam kepala toman jer......

Ahad, selepas meneman isteri ke Pasar Borong Selangor, aku ke kolam Fifofo. Ada 11 orang pemancing sedang tekun menanti ikan menyambar umpan. Aku perhatikan karung ikan masing-masing kelihatan kosong lalu. Hari sebelumnya memang galak ikan menyambar umpan. Pantang umpan nampak sedap, naik sahaja leekoh bunga atau rohu dan pacu.

Aku perhati seorang yang agak berumur duduk bersandar. Teman-temannya sedang leka menanti umpan di sambar.

"Dah lama Cik...." tegur aku sambil ingin menemaninya.

"Dah dua jam.... Letih, bagi **** tu mancing." jawabnya. Aku perhati wajahnya.... Macam pernah nampak. Janggutnya kecil berwarna putih.

"Encik ni macam biasa saya nampak." saya bersuara cuba menelah. Lalu dia bercerita tentang kerja, pencen, mancing dan sebagainya.

"Oh..... Baru saya ingat." lalu berceritalah aku dan dia berdua. Bila seorang rakannya mahukan "teh tarik", aku katakan masih belum ada. Tempat makan masih dalam pembikinan. Lalu aku meminta seseorang menyediakan kopi Tongkat Ali.

Hari itu, aku berbual panjang tentang ekonomi negara, pendidikan, penambah nilai sektor industri, RM Ke 8 dan RM Ke 9, IMP (Industrial Master Plan 2 dan 3) dan banyak lagi.....

Apalah nilai lima cawan kopi Ali Cafe dengan ilmu yang aku dapat hari ini. Seorang bekas pegawai ekonomi negara, MTEN, EPU ......... Dan kerendahan budinya....

"Di sini, jangan panggil title. Panggil nama sahaja. Yang itu Datuk AA. Tapi jangan panggil Datuk di sini. Panggilan tu kalau kita dengan Sultan atau Agung...." katanya lagi.
Hari ini, Kolam Pancing Fifofo disinggahi oleh seorang Tan Sri dan dua orang Dato'.

Thursday, February 17, 2005

Siapa Nak Lawan..... kata belia veteran!

Berat Wak? Boleh tolong angkatkan?...... Wak Jan, seorang
"belia veteran" dangan hasil pancing tengah malam. Talapia
merah dan leekoh bakal menyeri meja makan keluarganya esok!

"Wak Jan dah naik!" satu suara kedengaran ketika aku menonton Astro di Kolam Pancing Fifofo. Secawan capucino yang aku pegang aku segera letakkan. Masing-masing yang sedang berehat ketika lewat tengah malam itu bangun dan mengerumuni Wak Jan. Aku juga!

"Berapa Wak?" aku tanyakan.

"Ala Has... sikit jer. Ada 14 ekor talapia dan leekoh!" jawabnya dengan pelat yang sukar dibuang.

"Boleh tahan...." satu suara kedengaran.

"Rohu tak naik?" tanya satu suara yang lain.

"Aku memang carik talapia dengan liku.... Sedap!" jawabnya.

Wak Jan hanya berumpankan dedak ayam yang digaul dengan tepung. Dua mata pancing saiz 8 dengan tali 8 paun dan tali perambut 20 paun. Pengalaman lelaki lebih separuh abad ini tidak boleh dipertikaikan. Lalu aku segera mengambil kamera aku yang sentiasa memang ada di dalam kereta aku. Tapi sayang, kamera digital murah aku, amat tidak sesuai untuk tangkapan gambar di sebelah malam. Lalu sorotan lampu dua buah kereta menjadi cahaya tambahan.


Sahabat sepemancingan yang tidak mahu mengalah
dengan Wak Jan. Berbelas juga talapia dan leekoh
mampu dinaikkannya.

Memanglah pancingan ini satu refleksi kehidupan. Pembelajaran dengan masa, pancingan yang berterusan sedari kanak-kanak hingga meningkat usia mampu memilih yang baik yang dicarinya jika dipelajari dengan betul. Memancing pun begitu juga. Kepandaian seseorang mampu memilih ikan apa yang bakal dinaikkan mengikut yang dikehendakinya.
Kolam Pancing Fifofo untuk mengenalinya....

Sunday, February 06, 2005

Wah!! Besar Leekoh Tu!!

Emir keseronokan melayan seekor Leekoh di Kolam Pancing Fifofo.

Emir menayangkan Leekoh seberat hampir 1Kg yang dipancingnya di Kolam Pancing Fifofo.




Aku duduk memerhatikan pemancing-pemancing sedang berlawan dengan pacu dan keli dari tebing tinggi disebelah pejabat Kolam Pancing Fifofo. 30 Januari ini adalah hari pembukaan. Hari yang lama ditunggu-tunggu oleh ramai orang. Hari untuk beradu tenaga dan melepaskan “gian” pada sesetengah orang. Aku menonton gembira. Hati membuak-buak ingin turut serta, tapi apakan daya. Tidak kesampaian. Banyak yang aku perlu fikirkan dan banyak yang aku perlu selesaikan.

Aku hanya duduk memerhati dari kejauhan. Ramai yang bergembira. Tidak putus-putus menarik naik pacu dan keli. Kelibat rohu dan talapia masih belum kelihatan. Apa lagi baung. Memang itulah ragamnya kolam pancing. Bila pacu menggila, rohu, leekoh dan talapia menanti sahaja. Tidak mampu mendekati. Kerakusan pacu dan keli melahap umpan yang dicampakkan memang nyata sekali.

“Bila bukak kolam pancing ni?” satu suara kedengaran. Tiga orang berada berdekatan bersuara. Entah bila sampai aku tidak sedar.

“Baru hari ini.” Lokman bersuara.

“Memang kita tidak promosikan secara besar-besaran buat masa ini.” Katanya lagi.

“Baru best ada kolam pancing kat sini. Wah! Pacu tuh….." katanya lagi melihat seorang menaikkan pacu seberat hampir 3 kg.

Aku hanya mendengar perbualan mereka. Masing-masing segera berlalu pulang untuk mengambil joran. Memang itu pun yang ramai orang lakukan hari itu. Ramai yang tidak tahu Kolam Pancing Fifofo telah secara resminya dibuka untuk orang ramai.

Malam tadi aku memberi taklimat terakhir kepada ahli-ahli projek ini. Aku senaraikan apa yang perlu dilakukan untuk seminggu. Aku lantik pengurus kolam. Aku senaraikan tugasan masing-masing sepeninggalan aku selama seminggu. 30 Januari hari pembukaan. Dan hari yang sama, aku akan berangkat terbang ke Belanda untuk urusan perniagaan. Kolam harus aku serahkan kepada Rahmat untuk mengetuai. Cuma aku pesankan padanya untuk menghantar e-mail setiap hari.

Jam 11.00 pagi, empat orang naik daripada tempat pancingan. Dengan kepenatan.

“Dah nak balik ker?” tanya aku.

“Dah puas bang! Penat tangan. Lenguh-lenguh!” katanya.

“Puas hati betul! Belum pernah rasa mancing cam ini puasnya”. Kata dia lagi.

“Berapa banyak?” sengaja aku menduga.

“Adalah pacu dalam 40 ekor, mungkin lebih. Keli berbelas ekor jugak!” katanya sambil mencari-cari guni buat mengisi ikan hasil pancingan. Aku tumpang puas hati.

Memang mancing di kolam pancing yang baru dibuka biasanya berbaloi. Banyak ikan akan boleh dinaikkan. Apatah lagi lebih 2,500 kg ikan pelbagai jenis dan saiz dimasukkan beberapa hari sebelumnya dan tidak langsung diberi makan sehingga hari pemancingan. Manakan tidak ikan-ikan ini mengganas. Cuma jenis-jenis yang “lembut” seperti talapia merah, rohu dan leekoh mungkin masih mengalah kepada pacu dan keli. Tiga hari lagi, sekelompok ikan lain pula akan dimasukkan. Patin sebesar 3 – 8 kg pula akan dimasukkan bagi menambah tarikan di kolam ini.

Pun begitu, ada juga yang memancing hanya dapat menaikkan seekor ikan keli. Memanglah begitu. Memancing pun bukan semua boleh mendapat hasil yang sama. Ada yang naik dan ada juga yang tidak walau umpan yang sama dan balingan umpan di tempat yang sama.

Mungkin itulah rezeki masing-masing.Aku segera juga beredar. Pakaian kau belum kemaskan lagi. Baju tebal aku sudah aku serahkan kepada anak buah aku yang menyambung pelajaran ke Kanada. Jadinya aku harus keluar sebentar untuk mencari baju tebal. Suhu di Belanda seperti yang aku lihat di internet di bawah paras beku!Sedikit kesal, aku tidak dapat dapat bersama-sama yang lain untuk terus di situ sehingga tamat tempuh memancing pada hari pertama ianya dibuka, jam 1:00 pagi!!!! Jam 1:00 pagi, aku sudah berada diperut Boeing 747 menuju ke Amsterdam, sebelum ke Nijmegen.

Nijmegen, The NetherlandsKetika di Malaysia sedang nyenyak tidur......

Lawati laman Belia 4B Kg Limau Manis di www.geocities.com/bekalimas/fifofo.html untuk perkembangannya.

Henjut Emir!!!!


Emir keseronokan melayan seekor Leekoh di Kolam Pancing Fifofo.

Kolam Pancing Fifofo - http://www.geocities.com/bekalimas/fifofo.html